PUTRAJAYA: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah memfailkan notis usul untuk memanggil Ismanira Abdul Manaf bagi memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat ibu kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin, tahun lalu.
Laporan polis itu yang dibuat Ismanira pada 25 Julai 2024 telah menyentuh mengenai salah seorang saksi pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan remaja Down Sindrom, Bella iaitu saksi pendakwaan kelima (SP5), Yasmin Nahar Mahmood yang juga bekas penghuni Rumah Bonda.
Laporan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Siti Bainun berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun. Pada 2 Mei 2024, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara itu.
Pada 13 Jun 2024, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Mahkamah akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan pada 21 Julai ini.
Peguam, Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun memaklumkan perkara itu pada pendengaran rayuan wanita itu di Mahkamah Rayuan di sini hari ini, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa mengesahkan telah menerima notis usul tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah dan bersidang bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing kemudian menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes.
Selain memohon untuk memanggil Ismanira berhubung laporan polis itu, Siti Bainun melalui notis usul yang difailkan pada 7 Mei lalu turut memohon untuk memanggil Yasmin (SP5) untuk memberikan keterangan berhubung laporan sama.
“Saya sesungguhnya menyatakan bahawa kandungan laporan polis tersebut dengan jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur niat jahat di dalam pendakwaan kes melalui keterangan saksi SP5 terhadap saya dan Mahkamah ini seharusnya mengetahui akan kebenaran perkara ini untuk membuat suatu keputusan yang adil dan saksama.
“Keterangan baru dan/atau tambahan tersebut tidak pernah timbul sewaktu perbicaraan kes terhadap saya.
“Ismanira hendaklah dipanggil sebagai saksi pembelaan bagi memberikan keterangan baru atau tambahan berkenaan dengan kandungan laporan polis tersebut yang dibuatnya. Penama Yasmin yang merupakan SP5 di dalam kes terhadap saya perlu dipanggil semula untuk disoal balas lanjut untuk memberikan keterangan baru atau tambahan berkenaan,”ujar Siti Bainun dalam afidavit sokongan notis usul terbabit.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Siti Bainun bagi kesalahan mengabaikan Bella dan penjara 12 tahun bagi sebanyak 12 tahuni hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, yang kini berusia 17 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021. – UTUSAN