Bayar lebih untuk dapat tender kedai makan

Bayar lebih untuk dapat tender kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tender kedai makan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa dilaksanakan secara tidak telus apabila diberikan kepada peniaga yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak pengurusan.

Presiden kesatuan mahasiswa sebuah universiti mendakwa, terdapat pengusaha kedai makan yang terpaksa membuat bayaran lebih bagi mendapatkan tender.

Menurutnya, bayaran lebih daripada kadar sebenar semata-mata untuk memastikan permo­honan mereka diluluskan, menunjukkan wujudnya campur tangan pihak tertentu dalam proses pemilihan tender.

“Situasi ini menunjukkan penyalahgunaan kuasa berlaku apabila pihak tertentu memanipulasi keputusan tender untuk kepentingan peribadi, bukannya demi keadilan dan ketelusan.

“Sebagai contoh, ada dakwaan yang menyatakan pihak pe­niaga terpaksa membuat bayaran yang sepatutnya berjumlah RM2,500, tetapi ada yang sanggup membayar lebih sehingga RM3,000 untuk mendapatkan tempat, supaya perniagaan mereka diluluskan segera,” kataya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk ra­suah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.

Sementara itu, Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Brendon Gan Vinn Ten berkata, terdapat universiti awam yang gagal melaksanakan projek pembinaan yang dirancang dan ia masih tergendala sehingga kini.

Katanya, isu tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan pelajar sehingga timbul dakwaan tentang ketelusan pengurusan kontrak.

“Perkara ini menjadikan pelajar terkesan kerana projek sepatutnya siap sebelum sesi 2025/2026 tetapi masih tergendala, sekali gus menimbulkan dakwaan ketirisan dana,” katanya.

Sementera itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi pula mendakwa terdapat isu integriti dalam kala­ngan pensyarah yang melakukan amalan pilih kasih sewaktu memberi geran penyelidikan.

Katanya, perkara itu menye­babkan sesuatu projek atau kajian penyelidikan juga disalah guna dan tidak dapat dilaksanakan dengan telus.

“Perbuatan amalan pilih kasih itu bukan sahaja membunuh semangat pelajar yang benar-benar berusaha malah mengkhianati amanah masyarakat terhadap institusi pendidikan.

“Jika institusi yang sepatutnya melahirkan pemimpin masa depan mula memandang ringan soal amanah keadaan itu jelas mencerminkan kemerosotan nilai integriti dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN