GEORGE TOWN: Lebih 150 akaun dipercayai milik keldai akaun yang melibatkan nilai wang melebihi RM32 juta telah dibekukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembekuan akaun itu merupakan sebahagian daripada tindakan tegas pihak berkuasa, khususnya melalui operasi seperti Op Dadu yang dilaksanakan secara berterusan bagi menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dan jenayah penipuan siber.
“PDRM melaksanakan operasi seperti Op Dadu secara berterusan untuk menumpaskan sindiket perjudian dan ‘scam’,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab Joseph Ng Soon Siang (DAP- Air Itam) mengenai langkah yang diambil oleh pihak berkuasa bagi mengatasi kes perjudian dan scam.
Kon Yeow berkata, sepanjang tahun 2023, sebanyak 2,337 kes berkaitan aduan perjudian dalam talian direkodkan dengan 2,681 tangkapan serta 1,390 pertuduhan.
“Bagi tahun 2024 pula, jumlah kes menurun kepada 1,510 dengan 1,810 tangkapan dan 1,084 pertuduhan. Sehingga Mac 2025, sebanyak 485 kes telah direkodkan melibatkan 542 tangkapan dan 255 pertuduhan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi penguatkuasa bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras secara menyeluruh demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat di negeri ini. – UTUSAN