SETIU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas methamphetamine dan heroin dianggarkan bernilai RM25 juta dalam dua serbuan di Sungai Setiu di sini, pada 23 April lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) , Deputi Komisioner Mat Zani @Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, rampasan itu hasil maklumat berkaitan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit.
Katanya, serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Terengganu, JSJN Kelantan dan Pasukan Gerakan Marin itu menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 39 tahun yang dipercayai anggota sindiket tersebut.
“Serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 9 malam dan menahan seorang lelaki berumur 32 tahun di kawasan tebing Sungai Setiu yang sedang memunggah beg-beg dari dalam bot ke tebing sungai. Hasil pemeriksaan menjumpai 29 beg pelbagai warna yang berisi dadah jenis methamphetamine seberat 479.27 kilogram (kg) dan ketulan heroin ‘base’ seberat 109.89 kg.
“Dalam serbuan kedua pada hari yang sama kira-kira pukul 10 malam pula, seorang lagi suspek ditahan di tepi Pulau Tok Bilal pada jarak kira-kira 500 meter dari tempat serbuan pertama bersama beg galas yang berisi dadah jenis methamphetamine seberat 1.02 kg di dalam sebuah bot fiber, ” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, di sini hari ini.
Menurut Mat Zani, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek didapati negatif namun semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau termasuk satu berkaitan narkotik.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 480.29 kg dan 109.89 kilogram heroin nilai RM25 juta di pasaran yang mampu merosakkan 2.95 juta pengguna.
“Dadah ini dipercayai dibawa masuk dari Negara Segi Tiga Emas. Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal Mac lalu dengan menggunakan modus operandi menyewa bot memancing dengan harga RM4,800 bagi pakej tiga hari dua malam untuk transit dadah ke negara ini sebelum dihantar ke Australia. – UTUSAN