KUBANG PASU: Kerajaan akan meningkatkan tahap keselamatan di laluan sepanjang Sungai Korok, di sini yang sejauh 20 kilometer (km) bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama kenderaan terbabas ke dalam sungai.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, infrastruktur seperti pagar penghadang dan lampu jalan di kawasan itu akan diteliti untuk diutamakan demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
“Saya telah mendapat taklimat dan kita akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penghadang di tepi sungai itu dan lampu jalan itu saya akan ikhtiarkan untuk dipasang di kawasan itu dan kawasan-kawasan gelap yang lain.
“Secara kebetulan saya juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, jadi saya akan beritahu kepada menteri yang berkenaan supaya tindakan segera dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga enam beranak yang terkorban di Kampung Bohor Karang, Jerlun hari ini.
Mayat enam sekeluarga itu ditemukan dalam kereta yang dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok, semalam selepas kehilangan mereka menjadi misteri sejak Sabtu lalu.
Kesemua mereka, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Anayla Huma’ira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar selamat dikebumikan malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menjadikan anak sulung pasangan itu, Putri Qisya Nur Izzat, 12, sebagai anak angkat sehingga kanak-kanak itu menjejakkan kaki ke peringkat universiti.
Beliau turut menasihatkan Putri Qisya Nur Izzat agar terus tabah dan kuat menghadapi ujian hidup yang amat berat ini.
“Saya telah nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab. Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi.
“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insya-Allah, MRSM bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya,” katanya.
Beliau berkata, segala bantuan lain yang diperlukan kanak-kanak itu juga akan disalurkan dari masa semasa kerana kerajaan mahu memastikan kebajikan anak yatim piatu sentiasa terbaik demi masa depannya.-UTUSAN










