WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencalonkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan, penghormatan yang lama diidamkan beliau selepas anugerah berprestij itu pernah diberikan kepada pendahulunya, Barack Obama.
Netanyahu menyerahkan sepucuk surat pencalonan kepada Trump semasa satu pertemuan yang menurutnya ditujukan kepada Jawatankuasa Nobel Norway.
Dalam surat itu, beliau memuji tindakan Trump membenarkan pesawat tentera AS menyerang tapak nuklear Iran bulan lalu serta menggambarkan pemimpin itu sebagai tokoh utama dalam usaha ke arah keamanan dan keselamatan di pelbagai wilayah.
“Saya ingin menyampaikan penghargaan dan kekaguman bukan sahaja daripada Israel tetapi juga masyarakat Yahudi dan ramai penyokong di seluruh dunia terhadap kepimpinan anda.
“Saya percaya gabungan pasukan kita telah mencipta kerjasama yang luar biasa untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang.
“Presiden ini telah mencipta peluang besar, beliau memeterai Perjanjian Abraham dan sedang membentuk keamanan satu demi satu di negara dan rantau yang berbeza,” kata Netanyahu sambil memuji pasukan Trump yang disifatkannya sebagai luar biasa.
Kenyataan Netanyahu itu dibuat semasa satu sesi ringkas bersama media sebelum majlis makan malam tertutup yang digambarkan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt sebagai pertemuan peribadi dalam satu sidang akhbar pada Isnin.
Leavitt tidak mengulas secara terperinci mengenai topik yang akan dibincangkan namun menyatakan terdapat banyak isu penting yang sedang berlaku di Asia Barat dan akan dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin.
Beliau turut menekankan bahawa keutamaan utama Trump di rantau itu adalah untuk menamatkan perang hampir tiga tahun Israel terhadap Hamas di Gaza serta memastikan pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh kumpulan pejuang tersebut sejak serangan 7 Oktober lalu.
“Seperti yang anda tahu, terdapat cadangan gencatan senjata yang telah disokong oleh Israel dan dihantar kepada Hamas. Kami berharap mereka akan bersetuju dengan cadangan itu.
“Kami mahu semua tebusan dibebaskan, itu adalah perkara utama dalam fikiran Presiden dan ia akan dibincangkan bersama beberapa perkembangan positif lain yang telah berlaku di Asia Barat,” kata Leavitt. -AFP










