Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, KLCC dikawal ketat hari ini

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula hari ini, KLCC dikawal ketat

SUASANA sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) lokasi berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyaksikan kawalan keselamatan ketat dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan dari negara anggota ASEAN serta delegasi antarabangsa.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan KLCC mendapati suasana sibuk dengan kehadiran anggota keselamatan, petugas media tempatan dan luar negara, serta pelancong yang tertarik dengan kemeriahan dan persiapan rapi sidang berprestij berkenaan.

Laluan masuk utama ke pusat konvensyen itu dipantau rapi oleh polis dan pasukan keselamatan, manakala beberapa laluan berhampiran turut ditutup sementara bagi memastikan kelancaran perjalanan semua delegasi.

Antara yang telah tiba termasuk pegawai-pegawai kanan ASEAN, Duta Timor-Leste ke ASEAN, pegawai kanan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), pegawai kanan China, wakil tetap ke ASEAN, serta Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN bersama delegasi berprofil tinggi yang lain.

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dijadualkan berlangsung hari ini sebagai pembuka tirai sebelum Mesyuarat Peringkat Menteri yang akan berlangsung pada 25 Mei, diikuti Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN bermula 26 Mei ini.

Sidang tersebut menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan pelbagai isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN