PETALING JAYA: Dua anggota Kabinet mengumumkan peletakan jawatan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan semalam selepas masing-masing tewas dalam pemilihan parti.
Mereka adalah Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan disandang dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Peletakan jawatan ini menimbulkan spekulasi tentang siapa akan mengisi kekosongan tersebut selepas Kerajaan Perpaduan kehilangan dua menteri serentak yang pasti akan membawa kepada rombakan Kabinet.
Persoalan yang timbul sekarang ialah siapa yang bakal menggantikan Rafizi dan Nazmi. Antara yang disebut-sebut adalah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Presiden PKR yang baharu iaitu Nurul Izzah Anwar.
Anwar ketika ketika ditemui pemberita dalam satu majlis pagi semalam enggan mengulas ura-ura Rafizi berundur daripada Kabinet.
“Siapa beritahu?” Soalnya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Putrajaya.
Sementara itu, Rafizi berkata, beliau sudah kekehilangan mandat daripada PKR untuk melakukan reformasi selepas tewas pada Nurul Izzah Anwar.
Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertangungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.
Sependapat dengan itu, Nik Nazmi menyifatkan perlantikannya ke dalam Kabinet adalah kerana kedudukannya selaku Naib Presiden PKR sebelum ini.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya.
Beliau kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dan menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasannya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, pemikiran Rafizi akan terus menjadi kekuatan walaupun pemimpin itu tidak lagi berada di dalam pentadbiran kerajaan.
“Beliau memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya.
“Banyak idea beliau tidak akan dilupakan malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya tetapi kerana terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, Nurul Izzah yang kini merupakan Timbalan Presiden PKR, calon paling sesuai dari parti itu memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi iaitu salah satu kementerian kanan di dalam kerajaan.
“Bagaimanapun, jika Perdana Menteri tidak kisah melantik pemimpin dari UMNO mengisi jawatan tersebut, Johari paling layak dan kementerian yang disandang Johari ketika ini boleh ditukar dengan pemimpin dari PKR,” katanya. – UTUSAN










