KUALA LUMPUR: Pelakon, Emma Maembong, menasihati orang ramai agar menahan diri daripada membuka aib bekas pasangan kepada umum.
Bagi Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, walaupun sudah tidak lagi berjodoh dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, dia masih memelihara hubungan baik.
“Hubungan kami memang baik sebab tiada dendam. Saya dan bekas suami tahu, perkahwinan kami gagal, kami yang ada masalah tapi benda itu dapat diselesaikan.
“Kalau nanti di masa depan kita dijodohkan semula, kita pun tak tahu, jadi buat apa kita nak berdendam. Saya tak kisah soal jodoh ini sebab ada di mana-mana.
“Contohnya bukan kita tak pernah tengok, ada sahaja pasangan berperang ‘kau salah’, semangkuk aib sudah dibuka tapi dua tahun kemudian jodoh bertemu kembali,” katanya.
Emma ditemui Utusan Malaysia di sesi fotografi di Bukit Jalil, hari ini.
Tambah Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 31 itu lagi, tidak perlu menuding jari dan menghebahkan salah mana-mana pihak di media sosial.
“Sebab itu hal rumah tangga kalau boleh kita simpan sahajalah. Siapa salah tak perlu cerita dekat semua orang. Itu masalah kita dan pasangan.
“Waktu berpisah orang cakap macam-macam, sayalah punca. Tapi saya dan bekas suami diam sahaja.
“Biar orang cakap apapun, kita tak perlu nak betulkan. Diam. Sebab ini yang terbaik untuk anak-anak,” ceritanya.
Terdahulu, pada 7 Oktober tahub lalu, Emma mendedahkan sudah bercerai dan tamat tempoh idah. Walaupun isu tersebut meraih perhatian umum, Emma tidak mendedahkan punca perkahwinannya
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan dua orang anak Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah. -UTUSAN