PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui beliau mempunyai kelompok pemain yang istimewa yang sanggup berkorban untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.
Jurulatih kelahiran Australia itu berkata, para pemainnya sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi termasuk etika bangkit membenam Laos 5-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027, di laman sendiri, kelmarin.
Katanya, kredit seharusnya diberikan kepada semua pemain yang berjuang di atas padang dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk memastikan skuad rimau Malaya meraih kemenangan.
“Laos memberikan cabaran yang baik, mereka juga beraksi dengan baik jadi kita perlu kekal bersabar dan percaya pada permainan kita. Kita tidak begitu klinikal pada separuh masa pertama dan Laos bekerja keras untuk menutup ruang kepada kita.
“Tetapi pemain bangkit dan menunjukkan persembahan yang terbaik. Ini adalah kelompok pemain yang istimewa dalam skuad kebangsaan dan mereka bermain demi negara serta berjuang habis-habisan.
“Apa yang saya katakan kepada pemain ketika waktu rehat bagaimana untuk kita beri tekanan dan pujian kepada pemain yang berikan respon pantas kepada lawan,” kata Cklamovski selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disaksikan 18,901 penyokong itu, skuad negara meledak lima gol pada babak kedua untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Terdahulu, kem negara berdepan detik cemas apabila Laos mendahului 1-0 menerusi jaringan Chanthavixay Khounthoumphone yang membias kepada Shahrul Saad untuk mendahului di separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara tampil lebig garang dan penyerang naturalisasi, Romel Morales meledak dua gol disusuli Faisal Halim, Paulo Josue dan gol sendiri Khammanh Thapaseut.
“Laos beraksi dengan baik, mereka menututup ruang dan kami tampil lebih baik di separuh masa kedua dengan tempo yang ditingkatkan. Ia amat membanggakan saya dapat melatih pasukan ini.
“Saya harap penyokong akan berada di belakang pemain di mana pemain sudah berikan segalanya, dan saya harap kita boleh bergerak ke depan dan menyokong pasukan kebangsaan,” katanya.
Mengulas mengenai tujuh pemain warisan yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Cklamovski menyifatkan kesemua tujuh pemain itu masih berkobar-kobar untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Tujuh pemain berkenaan, mereka terdesak untuk berada di sini dan mewakili negara ini. Mereka adalah rakyat Malaysia. Kemenangan pada malam ini adalah untuk mereka juga selain untuk penyokong-penyokong semua,” katanya.
Kemenangan ke atas Laos mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata dan tiga mata di depan pencabar utama, Vietnam.
Anak buah Cklamovski akan meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal pada 18 November ini sebelum menentang Vietnam dalam aksi terakhir pada Mac tahun hadapan. – UTUSAN










