IPOH: Penduduk sekitar Desa Tambun, Jalan Ampang di sini terpaksa menghirup debu dan menanggung bunyi bising akibat operasi sebuah kilang memproses pasir yang didakwa mencemarkan kawasan perumahan mereka.
Masalah itu dikatakan berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga menjejaskan keselesaan lebih 1,000 penduduk di kawasan berhampiran.
Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tambun, Sukor Mat berkata, penduduk terpaksa berdepan habuk tebal yang menyelaputi rumah serta kenderaan mereka setiap hari.
“Kami tidak tahu sama ada habuk ini membahayakan kesihatan atau tidak. Setakat ini, sudah tiga aduan rasmi dikemukakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan ke lokasi berkenaan di sini semalam.
Turut serta ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang hadir bersama wakil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak bagi menilai aduan penduduk.
Muhamad Arafat berkata, pertemuan awal dengan pihak kilang diadakan bagi mendapatkan penjelasan serta dokumen kelulusan operasi premis berkenaan.
“Masih ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan terutama mengenai tahap pelepasan habuk dan kelulusan persekitaran. Kami akan mengadakan pertemuan susulan minggu depan untuk meneliti dokumen lengkap daripada pihak syarikat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang operasi industri yang menjejaskan kesejahteraan penduduk tidak akan dikompromi dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Penduduk berharap pihak berkuasa dapat segera menyelesaikan isu tersebut agar kehidupan harian mereka kembali aman tanpa gangguan bunyi dan pencemaran debu.-UTUSAN.










