Pergerakan ikan pelagik pengaruhi kadar pendaratan

Pergerakan ikan pelagik pengaruhi kadar pendaratan

KERJA-kerja melabuhkan tukun tiruan jenis dasar lembut oleh Jabatan Perikanan Kedah di perairan Pulau Telor, Yan. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Pergerakan ikan pelagik seperti selar, kembung, sardin, cencaru, tongkol (tuna kecil) dan tenggiri yang bersifat bermusim boleh menyebabkan tangkapan ikan di setiap negeri turun naik.

Pengarah Perikanan Kedah, Sukri Deris berkata, ikan-ikan yang menghuni ruang air terbuka di lautan itu akan bergerak dari sesuatu perairan ke per­airan lain mengikut kitaran semula jadi yang berulang antara empat ke lima musim setahun.

“Contohnya ikan kembung di mana kawasan pembiakannya dikatakan di perairan Larut Matang, Perak sebelum bergerak ke utara melalui perairan Pulau Pinang, Kedah, Perlis hingga ke Laut Andaman di Thailand.

“Jadi sebab itu ada waktu ikan ini banyak di perairan ne­geri lain dan lebih rendah di sini, dan sebaliknya apabila kawanan itu berada di perairan sekitar Kedah kerana ia bermusim,” katanya ketika ditemui pada Program Melabuh Tukun Tiruan Dasar Lembut di Perairan Pulau Telor di sini semalam.

Utusan Malaysia pada 22 September lalu melaporkan pendapatan nelayan di negara ini semakin merosot berikutan hasil tangkapan ikan di beberapa negeri mencatat penurunan ketara sejak bebe­rapa tahun kebelakangan ini.

Ujar Sukri, walaupun jumlah pendaratan ikan di Kedah meningkat pada 2022 dan 2023 berbanding 2021 dan menurun semula tahun lalu, faktor turun naik itu juga dipengaruhi oleh pemindahan lesen bot nelayan ke negeri lain.

“Bot-bot ini boleh berpindah pengkalan, tahun ini mungkin pemilik mendaftar di Kedah tapi tahun depan berpindah pengkalan dan tempat pendaratan ke Pulau Pinang atau pun pengusaha di sini telah jual botnya ke Perak. Oleh itu, jumlah pendaratan ikan akan berlaku naik turun di setiap negeri,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Kedah telah melabuhkan sebanyak 570 unit tukun tiruan di perairan sekitar negeri ini membabitkan peruntukan RM10.52 juta sejak 2006.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×