PETALING JAYA: Kerjasama antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu dimuktamadkan segera demi kebaikan bersama kedua-dua pihak.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan langkah Kerajaan Sarawak untuk melantik Petros sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak.
Katanya, lantikan itu dibuat bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang memberi kuasa Eksekutif dan Legislatif kepada kerajaan negeri dalam hal ehwal elektrik dan pengedaran gas.
“Hak Perlembagaan ini harus dihormati agar Petros dapat melaksanakan peranan sebagai pengagregat gas bagi memastikan pembangunan industri gas di Sarawak terus menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kuching, Sarawak.
Katanya, pelantikan Petros selaras dengan syor Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang dilaksanakan melalui Perintah Kuasa Perundangan Negeri Borneo 1963 oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berharap kerjasama Petros dan Petronas dapat dimuktamadkan segera kerana ia akan membawa manfaat besar dalam pembangunan rantaian industri minyak dan gas di Sarawak untuk kemakmuran bersama,” katanya.
Menurutnya, hubungan baik antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan telah lama terjalin dan banyak isu hak dan kepentingan negeri telah diselesaikan.
Katanya, hubungan akrab itu memastikan Sarawak memperoleh semua hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak.
“Saya menyeru agar semua tuntutan Sarawak dapat diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan demi manfaat bersama.
“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan keselamatan di Sarawak,” katanya.
Wan Junaidi berkata, beliau yakin komitmen Perdana Menteri menerusi prinsip Malaysia Madani akan memberi impak positif kepada usaha memperkasa semangat ‘Segulai Sejalai’ ke arah pembangunan inklusif di Sarawak. – UTUSAN