KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa tuntutan minyak dan gas Sarawak ditangani ‘dengan semangat perpaduan dan keadilan’ untuk mengelakkan perpecahan mendalam.
“Petronas untuk negara. Sarawak juga sebahagian daripada Malaysia,” kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sambil menyatakan dialog membina boleh menyelesaikan isu terbabit.
Berbanding konfrontasi, katanya, perlu ada kerjasama dalam Petronas yang merupakani satu-satunya syarikat Malaysia dalam senarai Fortune Global 500 yang berprestij.
“Sarawak harus bekerjasama dengan Petronas dan capai perjanjian – sama seperti mana-mana negara lain,” katanya seperti dipetik daripada laporan FMT.
Timbalan Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Larut itu berkata, dalam sektor minyak dan gas, negara tuan rumah lazimnya menerima royalti sehingga 15 peratus.
“(Royalti) boleh jadi 15 peratus atau lebih rendah,” katanya yang turut mengingatkan Sarawak juga mendapat manfaat daripada dividen dibayar Petronas kepada negara.
Hamzah berkata, tuntutan Sarawak untuk mendapat bayaran royalti lebih tinggi boleh dibincangkan, namun memberi amaran tuntutan berlebihan dibimbangi menjejaskan perpaduan negara.
“Mana ada syarikat lain di dunia ini yang akan kata: ‘Saya akan beri royalti 40 peratus untuk takungan minyak yang kamu ada’. Itu tak adil,” katanya.
Mengenai desakan Sarawak untuk mengawal peranan agregator gas, Hamzah berkata, persoalan sebenar sama ada langkah itu membenarkan model perniagaan berdaya maju.
“Mereka boleh minta, tetapi kena ingat satu perkara, ini bukan tentang dasar, tetapi tentang model perniagaan, supaya semua pihak boleh dapat bahagian yang adil,” katanya.
Menggesa isu itu tidak dipolitikkan, Hamzah berkata, pemimpin persekutuan dan negeri harus mengelak daripada menggambarkannya sebagai ‘pertempuran’ antara Putrajaya dan Sarawak.
Katanya, sebaliknya kerajaan negeri perlu berunding terus dengan Petronas.
Beliau berkata, syarikat minyak negara itu berada dalam kedudukan terbaik untuk memutuskan formula royalti yang adil.
“Mereka ada analisis. Mereka ada data. (Jadi) mereka harus buat perjanjian yang adil untuk semua pihak,” katanya.
Hamzah berkata, prinsip keadilan yang sama harus diterapkan di semua negeri mempunyai sumber asli.
“Sebagai contoh, negeri saya, Perak ada banyak emas. Buat sama-sama, tetapi royalti mesti diberikan kepada negeri dengan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, paling penting Petronas sebagai ‘angsa bertelur emas’ harus dipelihara ‘untuk masa depan rakyat’.-UTUSAN