PETALING JAYA: Pelakon, Elisya Sandha, selamat melahirkan anak kedua di sebuah pusat perubatan swasta pada Jumaat.
Elisya atau Nur Elisya Sandha Hassan, 26, berkongsi detik bahagia itu menerusi sebuah ‘selfie’ bersama putera pertamanya itu.
“Benarlah Allah sebaik-baik perancang. Syukur Alhamdulillah, MasyaAllah, Tabarakallah.
“Assalamualaikum anakku, Bahtera Elhaq Bin Uzair Hagimy,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam hantaran berbeza, turut dilihat suaminya, Uzair Hagimy, ada menemani isteri melalui saat bersejarah itu.
Malah Uzair, turut menitipkan ucapan bangga buat isteri kerana melahirkan seorang hero dalam keluarga kecilnya.
“Terima kasih kepada yang mendoakan, dan terima kasih buat isteriku. Sekali lagi, awak membuat saya kagum dengan kekuatan awak.
“Tak akan mampu saya balas, sayang,” katanya.
Untuk rekod, Elisya dan Uzair mendirikan rumah tangga pada Ogos 2021.
Sebelum ini, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Bunga Elhaq, 3. -UTUSAN