Selalu berkongsi gambar beribadah di media sosial
SOALAN
Adakah berkongsi gambar-gambar melakukan ibadah di media sosial seperti haji dan umrah sesuatu yang terlarang?
Nur
Kuantan
JAWAPAN
Berkongsi gambar-gambar ibadah di media sosial bergantung kepada niat masing masing. Namun yang terbaik jangan berlebihan dan menyembunyikan ibadah kita melainkan penyiaran tersebut boleh memberi manfaat kepada orang lain.
Ikut amalan Mazhab Shafie
SOALAN
Benarkah kita dibolehkan mengamalkan amalan mazhab tertentu selain mazhab Shafie jika ada kemaslahatan yang perlu diselesaikan?
Hurairah
Kajang
JAWAPAN
Kita boleh mengamalkan mazhab lain dengan ilmu dan belajar. Namun di Malaysia untuk orang awam lebih baik beramal dengan mazhab Shafie kerana ia merupakan mazhab rasmi Malaysia.
Musykil ikut imam atau tidak
SOALAN
Jika imam terlupa rakaat solat Maghrib dengan menambah satu rakaat lagi, sedangkan makmum sedar dan tidak ikut imam dan menunggu sehingga imam duduk tahiyat akhir. Imam kemudian sedar dan menambah dengan sujud sahwi, apakah makmum juga kena turut mengikut imam melakukan sujud sahwi itu?
Abdullah
Sekinchan, Selangor
JAWAPAN
Dalam kes imam terlupa bilangan rakaat lalu dia menambah satu rakaat lagi dalam solat Maghrib, maka makmum yang menyedari hal itu iaitu yakin telah cukup tiga rakaat, hendaklah dia kekal dalam keadaan tahiyat akhir. Ada dua pilihan di sini, pertama, kekal duduk dan tunggu imam duduk tahiyat akhir dan salam bersama. Pilihan kedua, mufarakah atau berpisah daripada imam, dan memberi salam secara sendiri. Bagi yang tunggu imam pada kedudukan tahiyat akhir, hendaklah ikut jika imam sujud sahwi. Jika tidak ikut imam sujud sahwi, batallah solatnya.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]