PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman akan menggerakkan 667 pegawai dan anggota ke Dataran Merdeka esok bagi membantu kawalan keselamatan susulan perhimpunan #TurunAnwar.
Pengarahnya, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, penugasan itu turut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang diatur gerak ke beberapa lokasi.
“Aset-aset strategik jabatan ini juga akan digerakkan dalam memastikan ketenteraman dan keselamatan sekitar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka bakal menghimpunkan 10,000 hingga 15,000 peserta termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan orang awam.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.
Katanya, PDRM komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan hari ini dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.
Beliau turut menasihatkan para peserta agar sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada,serta bersama-sama memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, seramai 2,000 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan kelancaran perhimpunan itu. – UTUSAN







