KUALA LUMPUR: “Saya juga mangsa keadaan, bukan dalang di sebalik penipuan semua ini.”
Demikian pengakuan Datuk Mahadi Badrul Zaman, wakil kepada dua buah syarikat yang kini dikaitkan dengan skim pelaburan Islamic Redeemable Preference Share (i-RPS) melibatkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
Mahadi berkata, tanggungjawab mereka hanyalah memperkenalkan dan menjemput pelabur menyertai pelaburan i-RPS, bukan menguruskan dana mahupun projek.
“Sejak 2022, tugas kami hanya sebagai perantara. Dua syarikat ini berjaya mengumpul pelaburan sebanyak RM128 juta dan RM43 juta. Jumlah pelabur sekitar 1,000 orang,” katanya dalam sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Mahadi yang juga pelabur dalam skim berkenaan mendedahkan, beliau telah melaburkan sebanyak RM20.7 juta bersama kumpulan perantaranya.
“Kami diberi taklimat dan dokumen yang meyakinkan, kononnya ia sah daripada segi syariah dan undang-undang. Sekarang kami juga tidak mendapat dividen seperti dijanjikan. Saya memang rasa bersalah kerana tersilap mempercayai sistem itu,” katanya.
Mahadi turut mengakui berasa bersalah kerana menjadi orang tengah yang mengajak orang ramai menyertai skim pelaburan yang akhirnya menimbulkan masalah besar.
“Saya faham kemarahan pelabur, saya juga rugi jutaan ringgit. Tetapi saya tidak tahu dana itu disalah guna oleh pihak pengurusan,” katanya.
Katanya, pada 8 Januari lalu satu sesi penjelasan menerusi platform Zoom bersama pelabur diadakan, namun ia gagal menjawab persoalan mereka.
Ujarnya, pihak pengurusan tidak lagi tampil memberikan penjelasan lanjut, menyebabkan keresahan dan tekanan hebat dalam kalangan semua pelabur.
“Saya kini sering menerima kecaman dan ugutan. Saya sendiri tertanya-tanya ke mana wang kami dibawa,” katanya.
Sementara itu, MHO menegaskan, semua pihak termasuk Mahadi perlu memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, fokus kini adalah membela semua mangsa dan memastikan tindakan diambil terhadap pelaku sebenar. – UTUSAN










