KETIKA gadis seusia menggumpul busana, barangan kosmetik dan beg tangan berjenama mewah luar negara. Pelakon meningkat naik, Siti Hariesa, tidak pernah merasakan ia sebuah keperluan.
Bagi Hariesa atau Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 26, apa yang nampak cantik di mata, itu yang dipakai walaupun sekadar puluhan ringgit harganya atau dibeli secara dalam talian.
“Benda paling mahal saya ada cuma telefon bimbit yang dibeli secara tunai. Harganya sekitar RM5,000 hingga RM6,000.
“Saya bukan jenis berbelanja mewah. Buat masa ini fokus saya hanya buat keluarga. Saya kongsi rezeki dengan mereka bagi membalas jasa sepanjang membesarkan saya selama ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagi pelakon Perempuan Itu, hasil kerja keras yang diusahakan selama ini turut disisakan bagi menabung membeli aset buat diri sendiri.
“Sudah tentu juga saya berusaha bersungguh-sungguh cari duit dan kumpul aset. Sekarang saya sudah sara diri sendiri, jadi itu satu perkara yang saya usahakan.
“Selain itu, ada juga saya fikirkan untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri,” ceritanya.
Beberapa kali naskhah lakonannya mula menjadi tumpuan belakangan ini bermula dengan Perempuan Itu, Senyawa, Calon Isteri Buat Suami dan terkini, Bru.
Gadis asal Johor itu mengakui adakala dirinya perlu beradaptasi dengan keadaan tubuh yang penat kerana menjalani jadual penggambaran yang padat.
“Bagi saya cabaran yang pernah dilalui sepanjang menjadi pelakon adalah berkaitan mental dan kesihatan, sebab adakala rasa penat.
“Penat disebabkan tidur tak cukup dan terlalu banyak menghabiskan masa bekerja di set penggambaran. Namun semuanya dipermudahkan Alhamdulillah.
“Mungkin ada masa rasa terbeban secara fizikal, tapi saya tekad untuk terus melangkah ke hadapan,” ceritanya.
Tambahnya lagi, memandangkan tenaganya sudah banyak dihabiskan untuk bekerja. Hariesa lebih selesa berehat di rumah sepanjang bercuti.
“Waktu cuti memang saya khaskan untuk diri sendiri. Tidak buat apa sangat pun. Banyak masa saya habiskan di rumah sahaja,” katanya.-UTUSAN