Pelakon, Jeremy Bong dalam sebuah rancangan podcast baru-baru ini membuka mulut mengenai pengalaman buruk dimalukan seorang pelakon wanita ketika digandingkan dengan pelakon itu dalam sebuah drama tempatan.
Pendedahan itu menuai telahan netizen yang rata-ratanya memetik Julia Farhana Marin sebagai pelakon yang dimaksudkan Jeremy.
Andaian tersebut timbul sementelah mereka berdua pernah digandingkan dalam drama Jangan Pernah Lupakan Aku.
Benarkah Julia pelakon yang dimaksudkan? Julia, jawablah!
Adakah anda sedar yang nama anda dipetik netizen gara-gara pendedahan Jeremy Bong itu?
Ini pertama kali saya mengetahui mengenainya. Kalau yang dimaksudkan adalah saya, tak tahu atas niat apa dia menceritakan semua itu kepada umum?
Kenapa baru sekarang dan tidak dahulu? Adakah kerana sebelum ini nama saya beberapa kali tular? Mahu menumpang sensasi mungkin?
Kalau berpeluang memang saya hendak jumpa dan tanya apa niat dia sebenarnya?
Disebabkan pendedahan itu, nama Julia dipetik dan menjadi busuk. Apa yang Julia boleh katakan mengenai situasi ini?
Ada orang suka kita, ada juga tidak. Saya tidak ada masalah jika nama saya buruk kerananya. Itu pun kalau sayalah pelakon yang dimaksudkannya itu.
Tapi janganlah semudah itu buat andaian. Orang tak tahu cerita sebenar. Kalau benarpun saya hilang mood bekerja dengan dia, apa puncanya?
Mungkin hari itu saya penat. Kerja berlakon ini ada masanya mula awal pagi, selesai juga awal pagi.
Tapi kalau pelakon itu mahu bercerita negatif tentang pelakon lain, itu hak dia. Saya tidak boleh komen lebih sebab itu pengalamannya. Tak ada apa yang boleh saya lakukan mengenainya.
Pernahkah Julia sebelum ini dituduh sombong?
Banyak kali. Tapi hakikatnya, saya bukan begitu. Adakalanya saya kurang berborak di set penggambaran, lantas dicop sombong.
Saya manusia biasa. Ada ketika keletihan. Berlakon pula bukan kerja mudah. Tempoh bekerja panjang dan tidak menentu. Dan ada masanya pelakon kena hadir acara, jumpa client. Memang menggunakan banyak tenaga.
Jadi, kalau saya tidak bercakap banyak, bukan bererta saya sombong. Saya tak mampu puaskan hati semua orang.
Tapi bukan saya sahaja pelakon yang dituduh sombong, ramai lagi pelakon lain berhadapan situasi sama.
Apa pesanan kepada pihak yang salah anggap dengan Julia?
Saya alu-alukan kritikan konstruktif. Jadi, kalau ada yang bercakap negatif tentang saya, saya hendak tahu juga apa sebabnya?
Seeloknya jumpa saya, jelaskan. Bukan bercerita dalam podcast dan membuka pintu kepada netizen untuk memetik dan menuduh saya.