PETALING JAYA: Bermula tahun ini, Tabika Perpaduan akan melaksanakan Kurikulum Prasekolah 2026 merangkumi aspek kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan sebagai persediaan kanak-kanak menghadapi alam persekolahan di Tahun Satu dengan lebih bersedia.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, kurikulum berstruktur ini meliputi pemantapan kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, kerjasama komuniti, serta sistem pemantauan yang berkesan.
Katanya enam teras utama digariskan, termasuk penekanan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru, serta mengukuhkan jalinan kerjasama komuniti.
“Kaedah pengajaran dan pembelajaran turut dipertingkatkan bagi memantapkan tadbir urus dan memperkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Inisiatif ini diperkukuhkan melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030, yang menjadi strategi kementerian dalam memperbaharui program pendidikan awal.
Pelan ini bukan sahaja bertujuan membangunkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, tetapi juga membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi 2027 dibuka sehingga 31 Ogos ini dan boleh dilakukan secara dalam talian. Ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang memiliki Sijil Kelahiran dan MyKad, berumur empat hingga enam tahun, dengan keutamaan diberikan kepada pemohon yang tempat tinggal atau tempat kerja ibu bapa berada dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi Tabika.
Setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang, sekali gus menjadikannya platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan sejak usia muda. – UTUSAN










