Masih adakah masa depan bidang sastera dalam zaman teknologi dan kepintaran buatan (AI) ini, ketika golongan muda lebih cenderung kepada peranti, media sosial dan aplikasi digital.
Keadaan itu sekali gus menunjukkan bidang penulisan dan sastera bukan sahaja seolah-olah tidak menjadi pilihan utama golongan muda, malah sebahagian besar mereka bukan peminat bidang berkenaan.
Terdapat beberapa faktor mengapa senario tersebut seperti ada kebenarannya.
Antaranya adalah sastera dianggap sesuatu yang berat, rumit dan tidak glamor. Minat mereka membaca buku tidak boleh dianggap sebagai kecenderungan dalam bidang sastera semakin menebal kerana perlu diperhatikan buku kategori apa yang mereka baca.
Zaman ini, ketika lambakan buku popular pelbagai judul dan tema begitu banyak, sebahagian besarnya menjadi pilihan golongan muda.
Pembelian buku-buku oleh golongan muda sebenarnya banyak dipacu oleh semangat golongan tersebut terutama pelajar yang mendapatkan kemudahan daripada inisiatif e-baucar oleh Kementerian Pendidikan iaitu RM50 bagi pelajar sekolah rendah dan RM100 bagi pelajar sekolah menengah.
Inisiatif tersebut didakwa oleh pelbagai pihak terutama mereka yang terlibat dalam industri perbukuan berjaya membantu jualan buku kerana pelbagai golongan kelas sosial menikmatinya.
Kita pula berdepan satu stigma bahawa pelajar yang tercorot dan kurang cerdik memilih aliran sastera dalam akademik manakala mereka yang berada dalam kedudukan lima atau 10 terbaik dalam kelas memilih bidang sains.
Terdapat beberapa kategori golongan muda pelajar yang tidak memilih sastera atau sains sebaliknya cenderung kepada teknikal dan vokasional, atau hanya bercita cita menjadi pempengaruh dalam media sosial.
Ringkas, bidang sastera kelihatan terpinggir dan pilihan pelajar ‘marhaen’ dalam akademik.
Stereotaip mengenai pelajar yang mengambil aliran sastera merupakan pelajar kelas belakang, lemah, dan kurang pandai adalah satu mentaliti yang harus dihapuskan oleh masyarakat sekarang.
Sama seperti pendidikan aliran sains, sastera adalah satu cabang ilmu yang harus dipelajari oleh sesiapa sahaja bukan hanya melalui sistem persekolahan malah di mana-mana sahaja tidak mengira umur.
Menurut Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, stereotaip tersebut tercetus disebabkan oleh sistem di sekolah itu sendiri.
“Itu masalah sekolah sebenarnya. Mereka yang sering membandingkan aliran sains dan sastera itu sendiri,” katanya
Tambah Saleeh, peruntukan yang ditawarkan kepada pelajar aliran sastera berbeza berbanding peruntukan yang diberikan kepada pelajar aliran sains tulen.
“Kebanyakan pengetua di sekolah pula tidak mahu menawarkan subjek sastera kepada pelajar kerana peruntukan yang diterima lebih rendah berbanding sains tulen.
“Subsidi daripada kerajaan itu berbeza nilainya , itu antara punca aliran sastera agak terpinggir di sekolah.
“Sekolah juga takut hendak menawarkan subjek sastera kerana risau reputasi dan peratus kelulusan mereka berkurang,” ujarnya.
Selain itu, sekolah yang dikatakan memberi perhatian kepada sastera itu lebih kepada sekolah-sekolah di Sarawak dan Kelantan.
Mengulas mengenai penggunaan AI dalam penghasilan puisi, Saleeh menyifatkan perkara itu tidak mencerminkan perasaan serta personaliti penulis sebenar.
Kata beliau, teknologi seperti ChatGPT tidak mempunyai emosi dan jiwa kerana ia hanyalah robot dan mesin, berbeza dengan manusia yang mempunyai tahap emosi yang tinggi dan berbeza-beza.
“Kalau mereka menulis puisi menggunakan ChatGPT, itu mencerminkan personaliti AI, bukanlah penulis itu. Inilah yang dipanggil ketulenan.
“Ketulenan ini yang kita cari dan pihak kami tidak teragak-agak akan akan menolak karya yang dihasilkan oleh AI,” katanya.
Beliau yang juga penulis Dalam Gelora Zaman menasihati golongan muda supaya bijak mengambil peluang membina kerjaya, pendapatan dan kehidupan positif melalui sastera.
“Bidang ini sebenarnya bukan sahaja menjadi satu medan meluahkan ekspresi, malah ia juga merupakan terapi jiwa.
“Menulislah karya sastera, maka kita akan menjadi manusia yang tenang.
“Sewaktu kita menulis, kita dapat membuang fikiran negatif dalam minda. Kegelisahan dalam hati itu dapat diubati melalui penulisan,” katanya.
Tambah Saleeh, penulisan sastera juga boleh dijadikan sebagai komoditi dan menjana pendapatan sekiranya seseorang itu mampu berkreativiti.
“Industri kreatif ini sangat memerlukan orang yang bijak mahupun kreatif. Kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk industri ini.
“Hendak dapat kerja bergaji atau menjadi majikan adalah sesuatu perkara yang sukar, jadi dengan adanya kemahiran dan kreativiti, mereka akan menjadi manusia yang boleh membina pendapatan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Saleeh menasihati mereka yang berminat untuk menulis puisi, terdapat beberapa panduan asas yang boleh dijadikan rujukan dalam mengasah bakat dan meningkatkan kualiti karya.
Katanya, langkah pertama yang paling penting adalah menguasai bahasa yang digunakan. Bahasa yang gramatis dan tepat akan menjadikan puisi lebih kuat dan bermakna. Walaupun dalam puisi terdapat kebebasan melalui poetic license, asas penguasaan bahasa tetap perlu kukuh bagi memastikan maksud disampaikan dengan baik.
Selain itu, seseorang penulis puisi juga harus memiliki kekayaan perbendaharaan kata.
Pemilihan kata yang tepat mampu menggambarkan emosi, suasana dan mesej dengan lebih mendalam. Kata-kata dalam puisi harus dipilih dengan teliti kerana ia membawa beban makna yang besar walaupun dalam bentuk yang ringkas.
Seterusnya, penulis perlu membebaskan pemikiran mereka daripada sebarang kongkongan atau kekangan idea.
Kreativiti tidak boleh berkembang jika terikat kepada satu bentuk pemikiran atau stigma tertentu. Penulis yang berani bereksperimen dan berfikir di luar kebiasaan akan menghasilkan karya yang lebih segar dan asli.
Akhir sekali, penting untuk penulis banyak membaca.
Dengan membaca karya-karya puisi yang bermutu, seseorang akan lebih memahami gaya, kekuatan, dan teknik yang digunakan oleh penulis lain.
Sementara itu, PENA berkongsi perancangan rapi dalam memastikan buku-buku yang diterbitkan dapat diakses oleh khalayak yang lebih luas termasuk melalui salah satu rangkaian kedai buku terkenal seperti iaitu Kinokuniya.
Sebanyak 125 judul buku diusahakan di bawah projek PENA Madani yang dibiayai melalui peruntukan RM2.5 juta daripada kerajaan.
Setakat ini, 90 judul telah siap dicetak manakala selebihnya masih berada dalam proses percetakan. Penerbitan tersebut mencerminkan kepelbagaian dalam dunia kesusasteraan kerana ia melibatkan pelbagai genre dan khalayak, merangkumi buku kanak-kanak, novel, cerpen, puisi serta karya ilmiah.
PENA turut memberi tumpuan kepada penulis-penulis muda sebagai satu usaha melahirkan bakat baharu dalam dunia sastera.
Menyentuh tentang pengedaran buku-buku tersebut, PRNA menjalin perjanjian khas dengan Kinokuniya, yang akan menyediakan rak khas dengan sewaan tertentu untuk mempamerkan buku-buku hasil projek ini.
Apabila ditanya sama ada rak tersebut sudah beroperasi namun mereka menjawab ringkas bahawa “belum” tetapi masih dalam keadaan proses.
Oleh itu, PENA berharap rak khas itu akan mula beroprasi dalam tempoh seminggu atau dua lagi, ini memberikan isyarat kerjasama ini sudah berada di peringkat akhir pelaksanaan. I
Sebagai contoh, penganjuran majlis Malam Baca Puisi yang diadakan baru baru ini mendapat sambutan kira-kira 20 pendeklamasi tanah air termasuklah daripada golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). – UTUSAN










