PETALING JAYA: Tokoh korporat bergelar Tan Sri yang disiasat berhubung pemilikan saham dalam Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta mungkin diminta mengisytiharkan harta dimilikinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber memberitahu Mingguan Malaysia, namun perkara itu bergantung kepada siasatan dilakukan SPRM.
“Siasatan dilakukan SPRM adalah melihat pelbagai sudut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sumber juga memaklumkan, SPRM akan memanggil beberapa individu termasuk pemegang saham berhubung siasatan kes tersebut.
Katanya, siasatan membabitkan SEB masih berjalan dan berada pada fasa pertama iaitu penelitian dokumen sedang dilakukan SPRM.
“Kesemua individu tersebut telah dikenal pasti dan akan dipanggil SPRM sekiranya keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan siasatan,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, tokoh korporat itu mungkin dipanggil semula bagi membantu siasatan.
Semalam, akhbar ini melaporkan, siasatan SPRM terhadap tokoh korporat itu tertumpu kepada unsur rasuah bernilai jutaan ringgit yang melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara.
Laporan media sebelum ini mendedahkan bahawa seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri sedang disiasat SPRM kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Sementara itu, SPRM sudah mengenal pasti peneroka-peneroka bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan tanah yang dijadikan sebagai kebun durian di Raub, Pahang.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, suruhanjaya itu dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen tertentu untuk diteliti.
“Dokumen ini diperlukan bagi mengenal pasti dan merekod keterangan saksi-saksi terbabit,” katanya di sini.
Pada 29 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah mempunyai senarai individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan tanah terbabit yang meliputi pegawai kerajaan telah pencen.-UTUSAN










