PETALING JAYA: Kerajaan mengambil pendekatan yang teliti dan berhemah dalam menangani isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan mengutamakan rundingan diplomatik serta kerjasama serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu dilaksanakan secara tenang dan seimbang dengan tujuan utama untuk melindungi kepentingan negara serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan AS serta rakan dagang utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU).
“Dalam masa yang sama, kerajaan turut meneroka peluang perdagangan baharu dengan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun seperti Rusia dan Brazil, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pasaran eksport negara.
“Pendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi jangka sederhana negara yang memberi tumpuan kepada kestabilan makroekonomi, daya tahan perdagangan global, dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), demi memastikan kemakmuran yang inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Kelmarin, ketika sesi penerangan berkaitan tarif AS pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat , Anwar berkata sebarang pendirian terhadap tarif itu perlu diambil secara bersama sebagai blok yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan strategik ASEAN.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara anggota juga menyatakan dukungan penuh kepada Malaysia untuk membentuk suara kolektif dan kebersamaan ASEAN sebagai blok ekonomi yang besar dalam mengadakan rundingan bersama AS. – UTUSAN