ARAU: Peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dijangka membuka ruang kepada rombakan Kabinet selain turut bakal memberi kesan kepada dalaman PKR.
Peletakan jawatan tersebut juga dikhuatiri mempengaruhi beberapa lagi menteri lain dari kem Rafizi yang kalah dalam pemilihan PKR termasuk Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.
Ia juga dilihat sebagai tindak balas atau protes daripada kem Rafizi susulan kekalahan dalam pemilihan parti baru-baru ini sekali gus bakal memberi impak kepada PKR.
Jika berlaku rombakan Kabinet, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu dilihat calon paling sesuai menggantikan Rafizi mengetuai Kementerian Ekonomi.
Selain Nurul Izzah, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini memegang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi juga antara calon yang layak dan sering disebut-sebut sesuai mengetuai kementerian tersebut.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, rombakan Kabinet adalah perkara biasa apabila berlaku kekosongan namun lebih membimbangkan, ia memberi kesan kepada PKR selepas ini.
“Bagaimanapun, jika Perdana Menteri tidak kisah melantik pemimpin dari UMNO mengisi jawatan tersebut, Johari adalah paling layak dan kementerian yang disandang Johari ketika ini boleh ditukar dengan pemimpin dari PKR.
“Apa yang pasti, rombakan Kabinet mungkin berlaku susulan peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi atau Perdana Menteri masih mempunyai ruang memujuk mereka mengubah keputusan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rafizi sah meninggalkan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PKR 2025 yang lalu.
Selain Rafizi, Nik Nazmi juga mengikut jejak langkah sama meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai depan.
Muhammad Izmer berkata, Nurul Izzah kini menjadi tumpuan dengan semua tertumpu kepada beliau jika berlaku rombakan Kabinet tersebut meskipun bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan pendirian tidak mahu berada di dalam Kabinet.
Selain itu, katanya, Naib Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri R. Ramanan juga dijangka mengisi jawatan menteri penuh berdasarkan hierarki semasa parti itu. – UTUSAN