KUCHING: Reformasi sebenar sistem pendidikan negara bermula dari unit paling asas dan penting dalam sesebuah sekolah iaitu bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkembangan positif yang berlaku dalam bilik darjah membuktikan reformasi pendidikan tidak semestinya bertumpu pada perubahan dasar yang besar.
Katanya, tiada tempat lain yang lebih sesuai dan memberikan kesan langsung kepada pendidikan anak-anak selain di dalam kelas masing-masing.
“Ia harus bermula dengan pendekatan yang memberi kesan langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran harian.
“Saya melihat perkembangan yang sangat baik berlaku di dalam kelas masing-masing.
“Apabila kita membicarakan soal reformasi sekolah, tidak ada tempat lain yang lebih bermakna, sesuai dan unik selain daripada kelas itu sendiri,” katanya pada Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54 bukan sahaja simbol penghargaan, tetapi merupakan langkah memartabatkan mutu pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Terima kasih cikgu-cikgu sekalian kerana terus komited mendidik dengan hati yang luhur. Semoga usaha ini menjadi asas kukuh dalam melonjakkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Fadhlina berkata majlis itu bukan sekadar simbolik, malah turut mengiktiraf guru cemerlang yang berjaya melaksanakan pembaharuan berimpak dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Saya meneliti setiap pencalonan. Ada anugerah yang saya sendiri minta untuk ditambah kerana saya merasakan guru-guru ini wajib kita hargai.
“Semoga penganugerahan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain, dan usaha ini akan terus kita perkasakan,” tambahnya.
Pada majlis itu, para penerima Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Ikon, Anugerah Guru Berwibawa, Anugerah Khas Bitara Bahasa serta Anugerah Khas Menteri Pendidikan masing-masing menerima sijil, plak penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000, RM1,000 dan RM500 mengikut kategori. – UTUSAN