GEORGE TOWN : Syarikat pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, Rapid Bus Sdn. Bhd. mengumumkan peluasan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand ke tujuh zon baharu bermula 31 Mei ini menerusi fasa Proof of Concept (POC) selama tiga bulan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, zon-zon baharu ini dipilih berdasarkan permintaan yang tinggi daripada penduduk setempat, kepadatan populasi serta keperluan meningkatkan kesalinghubungan dengan laluan bas sedia ada di kawasan terlibat.
Katanya, zon pertama ialah Zon Alma, yang bakal dilengkapi empat buah van untuk beroperasi di kawasan berpenduduk padat serta kurang perkhidmatan bas manakala zon BM City pula akan beroperasi dengan tiga van di pusat bandar Seberang Perai Tengah (SPT).
“Tiga van juga akan ditempatkan di Zon Bayan Baru iaitu kawasan berkepadatan tinggi yang tidak mempunyai liputan pengangkutan awam mencukupi dan untuk Zon Bertam, dua van akan disediakan bagi membantu mengurangkan waktu menunggu penumpang untuk ke destinasi seperti Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
“Sementara itu, dua van akan beroperasi di Zon Balik Pulau manakala di Zon Transkrian/Nibong Tebal pula, dua van akan disediakan bagi menghubungkan laluan ke Penang Sentral dan Parit Buntar.
“Akhir sekali, tiga van akan diperuntukkan di Zon Batu Kawan iaitu kawasan pesat membangun yang masih belum mempunyai jaringan pengangkutan awam,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Amir, sepanjang tempoh POC ini, Rapid Bus akan memantau corak permintaan dan penggunaan bagi memastikan perkhidmatan sentiasa relevan serta menepati keperluan selain melaksanakan penambahbaikan berdasarkan hasil penilaian dan maklum balas penumpang.
Beliau berkata, Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 11 malam dengan tambang promosi serendah RM1 untuk setiap perjalanan sepanjang fasa POC ini.
“Tempahan perkhidmatan pula boleh dibuat menerusi aplikasi Kummute dan penumpang boleh membuat bayaran melalui Pas Mutiara My50, Pas OKU Smile, kad debit/kredit, DuitNow QR atau e-dompet,” katanya.-UTUSAN