Ramanan tekad bawa suara rakyat

Ramanan tekad bawa suara rakyat

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bertekad membawa suara rakyat, menjunjung nilai-nilai keadilan dan memastikan parti itu terus menjadi peneraju perubahan di Malaysia.

Beliau berkata, visi dan misi selepas kemenangannya adalah mahu membawa suara Malaysia Madani ke pentas nasional dengan semangat reformasi yang tidak pernah luntur. 

“Ini bukan sekadar satu kemenangan peribadi, tetapi satu amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi. 

“PKR bukan sekadar parti ia adalah rumah perjuangan kita bersama. Parti kita, rumah kita. Kita adalah Keadilan. Perjuangan ini adalah perjuangan bersama. Demi rakyat, demi masa depan Malaysia, kita terus melangkah dengan yakin dan teguh,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook, hari ini. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berjaya meraih undi kedua tertinggi dengan 5,895 undi bagi jawatan Naib Presiden semasa pemilihan parti yang diumumkan semalam. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berjaya mempertahankan jawatan tersebut.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menyeru semua ahli parti merapatkan saf dan melangkah ke hadapan dengan semangat utuh di bawah kepemimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Kini adalah masa untuk kita memperkukuhkan parti, memperkasakan idealisme perjuangan dan memastikan PKR kekal sebagai wadah utama rakyat yang menjunjung prinsip Malaysia Madani. 

“Saya amat menghargai segala bentuk sokongan, mandat dan kepercayaan yang telah diberikan oleh para perwakilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN