Pulau Perhentian beri peluang hidup kedua banduan

Pulau Perhentian beri peluang hidup kedua banduan

DUA pekerja berstatus Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Orang Diparol (ODP) melakukan kerja-kerja pembersihan di khemah pelanggan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Kami bangga dapat memberi pekerjaan dan peluang kedua kehidupan baharu kepada banduan Orang Bebas Berlesen (OBB) serta Orang Diparol (ODP).”

Demikian kata dua sahabat di Pulau Perhentian di sini, Muhamad Fakrul Amin Mohd. Taha, 33, dan Muhammad Lukman Mohamad, 36, yang mengambil lima banduan OBB dan ODP sebagai pekerja mereka di pulau peranginan berkenaan menerusi kerjasama Jabatan Penjara.

Muhamad Fakrul Amin berkata, kini lima pekerja itu menjadi ‘tonggak’ kejayaan mereka mengusahakan percutian berkonsep glamping iaitu ‘ gabungan glam (glamour) dan ‘camping’ (berkhemah).

Katanya, sejak memulakan perniagaan Ogos tahun lalu, pekerja prospek OBB dan ODP tersebut bermula dari bawah sebagai pekerja pembersihan dan penyelenggaraan, namun kini boleh bekerja di bahagian pentadbiran serta khidmat pelanggan.

“Sebelum ini kita dengar bekas banduan setelah keluar penjara tidak ada majikan yang mahu mengambil mereka bekerja selain disisih masyarakat. Apabila kami melakukan kerjasama dengan Jabatan Penjara melalui program parol ini, saya melihat OBB serta ODP mempunyai potensi dalam pekerjaan yang mereka lakukan.

“Sebelum dihantar ke syarikat yang terlibat, mereka telah diberikan latihan dan mempunyai kemahiran masing-masing selain dipantau oleh Jabatan Penjara sepanjang tempoh parol dijalankan,” katanya ketika ditemui di Pulau Perhentian, di sini.

Katanya, peluang yang diberikan kepada OBB dan ODP juga adalah salah satu cara bagaimana mereka membantu keluarga banduan terbabit, apabila gaji mereka dapat dihantar kepada anak isteri meskipun masih menjalani hukuman daripada kesalahan lalu.

Sementara itu, seorang bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Akim, 36, berkata, dia baru tamat menjalani tempoh parol 13 Mei lalu di pusat peranginan tersebut dan mengambil keputusan kembali bekerja di sana setelah diberi kepercayaan oleh majikannya.

Menurutnya, peluang pekerjaan yang diberikan sebelum ini bukan sahaja memberi sinar kehidupan baru buatnya, malah menyalakan keyakinan untuk dia kembali ke kehidupan bermasyarakat.

“Saya tidak sangka kesalahan masa lalu dengan penyalahgunaan dadah membawa saya jauh daripada keluarga sehingga dihantar ke Pulau Perhentian. Tetapi setelah menjalani tempoh parol di sini membuatkan saya ‘jatuh hati’ dengan tempat ini.

“Selain layanan majikan yang baik ia membuatkan saya bertekad untuk berubah serta menjadi ‘orang baharu’ dengan mempunyai kerjaya bagi menyara keluarga walaupun sebelum ini pernah tersilap langkah,” katanya.

Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Hasrul, 27, berkata, dia gembira apabila diberi peluang untuk berada dalam kalangan masyarakat meskipun masih berstatus banduan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN