PETALING JAYA: Pelbagai protokol keselamatan ketat telah disusun bagi memastikan keselamatan semua hadirin termasuk ketua negara, pegawai kerajaan, diplomat dan gabenor sentiasa terjamin sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 berlangsung.
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dalam kenyataan memaklumkan berbangga kerana sekali lagi dipilih sebagai lokasi rasmi penganjuran yang dijadualkan berlangsung minggu ini.
Pemilihan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan KLCC sebagai pusat acara bertaraf antarabangsa dengan legasi hampir dua dekad sebagai lokasi utama bagi acara multilateral berskala besar di Malaysia.
“Selain kelebihan infrastruktur fizikal, nilai tambah KLCC turut merangkumi protokol keselamatan hasil kerjasama erat dengan pegawai kanan polis, pihak berkuasa lalu lintas dan pasukan keselamatan khas,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kecekapan operasi KLCC turut merangkumi keupayaan kulinari bertaraf antarabangsa, persekitaran yang terkawal serta jaminan keselamatan menyeluruh, menjadikannya pilihan utama delegasi antarabangsa yang mengutamakan profesionalisme dan layanan mesra.
Dalam usaha mengekalkan kedudukan teratas dalam industri pengurusan acara global, KLCC sentiasa melaksanakan pembaharuan termasuk memperkenalkan pelbagai penambahbaikan teknologi mengikut keperluan semasa.
“Antara penambahbaikan terkini adalah paparan LED berdefinisi tinggi, sistem audio visual generasi baharu dan sistem kawalan bilik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Inisiatif ini diperkukuhkan dengan protokol keselamatan siber bertaraf tinggi serta amalan pengurusan acara berkelestarian yang diperakui oleh Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO).
“Ia meletakkan KLCC di barisan hadapan sebagai penganjur acara yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Bersempena ulang tahun ke-20, KLCC terus mencipta sejarah sebagai satu-satunya lokasi di Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa Sidang Kemuncak ASEAN termasuk pada 2005 dan 2015.
Sejak mula dibuka pada 2005, KLCC telah menganjurkan lebih 22,000 acara dan menerima lebih 29 juta pelawat dari seluruh dunia, sekali gus menyumbang kira-kira RM12.6 bilion kepada ekonomi negara.
Sepanjang dua dekad, KLCC bukan sekadar lokasi penganjuran acara, malah menjadi platform strategik negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan membina imej positif Malaysia di persada antarabangsa. – UTUSAN