ALOR GAJAH: Polis membuka kertas siasatan susulan penularan klip video seks membabitkan guru wanita dan seorang juruelektrik.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, tindakan diambil selepas guru wanita itu tampil membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati video membabitkan dirinya tersebar.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Siasatan awal ke atas telefon bimbit individu digelar ‘Abang CCTV dan Wiring’ tidak menjumpai kesalahan pornografi.
“Video seks juga belum diperoleh kerana telah dipadam. Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Semalam, Nur Fadilah Zainal dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah masing-masing berusia 31 tahun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas kesalahan percubaan melakukan persetubuhan haram pada Februari lalu.
Kontroversi tercetus apabila tular beberapa tangkap layar perbualan berunsur lucah di aplikasi WhatsApp yang dikatakan antara kedua-dua individu terbabit.
Berdasarkan maklumat tular di media sosial, hubungan terlarang itu bermula ketika Muhammad Hairul Ezuan menawarkan perkhidmatan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pendawaian elektrik di rumah Nur Fadilah.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memaklumkan, Nur Fadilah yang berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Melaka telah direhatkan daripada tugas. – UTUSAN