PETALING JAYA: Polis menyiasat sebuah portal media susulan laporan dakwaan mayat Datin Seri Pamela Ling Yueh ditemukan di sebuah rumah di Petaling Jaya sehingga tular di media sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita sudah buka kertas siasatan dan pihak terbabit akan dipanggil bagi dirakam percakapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Polis semalam menafikan dakwaan mayat Pamela Ling ditemukan di sebuah rumah di Petaling Jaya seperti tular di media sosial.
Hussein mengesahkan tangkap layar hantaran berbahasa Inggeris bertajuk Police Interview Pamela Ling’s Children and Family Friend in Death Investigation, adalah palsu dan tiada laporan penemuan mayat diterima setakat ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu tangkap layar memaparkan satu hantaran di akaun media sosial sebuah portal berita tempatan mendakwa penemuan mayat Pamela Ling di Petaling Jaya.
Tangkap layar itu memaparkan satu laporan berita yang mendakwa pihak polis menemu bual anak dan rakan Pamela Ling kononnya bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita itu pada 13 Mei.
Pada 9 April lalu, Pamela Ling dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada pukul 3.02 petang hari yang sama.
Sehingga kini, polis sudah merakam keterangan seramai 42 saksi bagi membantu siasatan dan masih belum berhasil mengesan sebarang rekod pergerakan Pamela Ling ke luar negara. – UTUSAN