PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih melakukan siasatan secara terperinci berhubung kes penculikan Datin Seri Pamela Ling pada 9 April lalu termasuk kemungkinan wanita terbabit melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya akan merakam percakapan anak-anak Pamela serta saksi berkaitan di Kedutaan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat.
“Pihak Polis Antarabangsa (Interpol) sedang mengatur proses terbabit (rakam keterangan anak dan saksi). Setakat ini seramai 27 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Siasatan secara terperinci dijalankan termasuk kemungkinan Pamela melarikan diri ke luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pergerakan Pamela ke luar negara juga telah disekat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan dijalankan terhadap wanita itu.
Ia bagi menjawab persoalan keperluan polis untuk menjaga pintu sempadan sekiranya terdapat cubaan membawa Pamela ke luar negara.
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Pamela termasuk dakwaan dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis semasa dalam perjalanan ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Pada masa ini semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu Grab yang membawa Pamela sedang dikumpulkan,” katanya. – UTUSAN