Polis nafi bayi mangsa dera meninggal dunia

Polis nafi bayi mangsa dera meninggal dunia

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Melaka menafikan dakwaan tular yang mendakwa seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang kini dirawat di Hospital Melaka telah meninggal dunia selepas disyaki didera ibu bapanya, awal minggu ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menegaskan, keadaan bayi terbabit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) kini menunjukkan perkembangan positif.

“Maklumat kononnya mangsa sudah meninggal dunia adalah tidak benar. Bayi tersebut sudah sedar dan boleh minum susu.

“Malah, kemungkinan besar akan dipindahkan ke wad biasa hari ini bergantung kepada laporan doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Majlis Tamat Kursus Asas Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka Siri 1/2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.

Tambah beliau, masyarakat dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan siasatan serta emosi keluarga mangsa.

“Siasatan awal mendapati hanya ibu dan bapa bayi terbabit yang terlibat dalam kes ini. Mereka merupakan pasangan muda berusia 22 tahun dan baru sahaja berkahwin.

“Siasatan hampir selesai dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Sementara itu, pada Rabu lalu, Mahkamah Sesyen Ayer Keroh membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, media melaporkan bayi berkenaan mengalami pendarahan dalam kepala, selain luka dan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai akibat didera ibu bapa kandungnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN