Polis musnahkan 1,500 pokok ketum di Hilir Perak - Utusan Malaysia

Polis musnahkan 1,500 pokok ketum di Hilir Perak

OPERASI memusnahkan pokok ketum di sekitar mukim Labu Kubong di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis memusnahkan 1,500 pokok ketum yang ditanam individu tidak bertanggungjawab di kawasan seluas 8.09 hektar tanah rizab kerajaan sekitar mukim Labu Kubong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, dalam operasi bersepadu susulan risikan dan aduan awam berkaitan pencerobohan tanah rizab kerajaan sepanjang 5.4 kilometer (km) di kawasan Pengkalan Daun dan 3 km di kawasan Sungai Keroh.

“Sebanyak 19 lokasi telah dikenali pasti secara strategik sebagai sasaran utama dalam operasi pemusnahan pokok ketum secara holistik.

“Tidak seperti yang lepas-lepas, kita hanya pangkas pokok ketum kali ini mencabut keseluruhan pokok kerana daripada risikan pokok itu apabila dipangkas akan menghasilkan daun yang lebih baik untuk tujuan kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Tanah Dan Galian, Pejabat Daerah Hilir Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Keselamatan Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau turut gusar dengan dakwaan Hilir Perak merupakan hub pembekalan daun dan air ketum di negara ini.

“Ini merupakan fasa pertama yang kita lancarkan selaras dengan peruntukan (undang-undang) di bawah Kanun Tanah Negara.

“Jadi, kita akan mengambil tindakan dalam fasa kedua dengan mengambil tindakan kepada individu-individu yang menanam pokok ketum di kawasan tanah masing-masing,” katanya.

Ujarnya, pemilik-pemilik pokok itu sukar dikenal pasti kerana ditanam di tanah rizab kerajaan namun beliau percaya ia turut didalangi sindiket-sindiket yang mengaut keuntungan melebihi 10 tahun berdasarkan saiz dan ketinggian tanaman komersial itu.

“Saya difahamkan ini adalah mata pencarian yang mendatangkan pulangan besar.

“Mereka aktif mengutip daun ketum pada waktu pagi sebelum menjualnya dalam pasaran seluruh negara termasuk di Thailand,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN