Poad tiada dalam lantikan jurulatih olahraga Sukan SEA

Poad tiada dalam lantikan jurulatih olahraga Sukan SEA

Mohd. Poad Md Kassim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) menjelaskan keputusan badan induk tersebut tidak menyenaraikan Mohd. Poad Md Kassim bersama enam jurulatih mempersiapkan skuad olahraga negara ke Sukan SEA Thailand 2025 Disember ini disebabkan komitmen masa.

Setiausaha Agungnya, Norhayati Karim berkata, keputusan tersebut diambil memandangkan MA mempunyai perancangan strategik bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Memang sebelum ini kita ada cakap mahu lantik Poad dan dia memang memberi kerjasama penuh dengan MA tapi kena faham dengan sistem yang perlu kami hadapi sebab dia sudah berpindah ke sebuah sekolah di Kedah.

“Jadi, kalau kami lantik dia takkan dia nak ambil cuti untuk datang ke KL (Kuala Lumpur) melatih atlet. Tak adil untuk dia sebab dia masih bekerja di bawah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Cuma, keadaan semasa tidak membolehkan dia memberi komitmen masa seperti yang diminta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan MA.

“Namun begitu, dia sentiasa memberikan kerjasama yang baik malah Poad mempunyai hubungan yang baik dengan kami dan ketika ini, dia turun membantu sebanyak dua kali sebulan,” katanya.

Terdahulu, MA melantik enam jurulatih sebagai persiapan kem olahraga menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 dan walaupun Poad tidak tersenarai namun Norhayati berkata, namanya tetap berada dalam perancangan badan induk itu pasa masa depan.

“Sekarang kita ada enam jurulatih ini sahaja dan mereka boleh bagi komitmen datang setiap hari ke MSN untuk melatih atlet. Kontrak lantikan mereka dibuat hingga Disember ini,” katanya.

Enam jurulatih tersebut Muhammad Hakimi Ismail bagi disiplin lompatan, Lo Choon Sieng (jalan kaki), Tan Song Hwa (balingan), V. Krishnan (jarak pertengahan dan jauh), Hisham Muztaza Ibrahim (larian berpagar) dan Mohd Nizam Md Yusof (larian pecut). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×