PETALING JAYA : Sebanyak 10 premis hiburan di sekitar ibu negara digempur polis kerana beroperasi tanpa lesen sah serta menggajikan warga asing tanpa permit, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, menerusi Op Mega Noda bermula pukul 12 tengah malam di Jalan Changkat dan Jalan Nagasari itu, pihaknya turut menahan 38 orang termasuk warga asing.
Pihaknya turut mengesan kegiatan pelacuran membabitkan pelacur warga Uganda, Kemboja dan Kenya dengan bayaran RM180 hingga RM200.
Beliau berkata, mereka yang ditahan membabitkan penjaga kaunter, pekerja warga asing, pelayan khidmat pelanggan (GRO) dan pelacur.
“Polis turut merampas peralatan pusat hiburan, kondom, kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM2,892.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua premis beroperasi tanpa lesen hiburan sah, tiada lesen minuman keras dan mengajikan pekerja warga asing tanpa permit sah,” katanya. – UTUSAN