SUNGAI PETANI: Ketika orang lain meriah menyambut hari raya melalui kunjungan ke rumah saudara, dua beradik ditahan polis ketika cuba mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Ibrahim, di sini petang kelmarin.
Dua beradik berusia 42 dan 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di dalam lubang selenggara bawah tanah milik syarikat utiliti itu ketika sedang memotong kabel menggunakan peralatan khas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mendapat maklumat berkaitan satu penutup lubang itu yang terletak berdekatan bangunan balai polis lama dan jam besar di Jalan Ibrahim terbuka.
“Pemberi maklumat turut memaklumkan terdapat dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dikesan berada dalam lubang berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah kemudian bergegas ke lokasi dan hasil pemeriksaan lanjut dua lelaki itu yang berasal dari Bakar Arang mengaku cuba mencuri kabel,” katanya.
Kata Hanyan, pihaknya merampas beberapa peralatan memotong kabel dan semakan mendapati kedua-dua lelaki terbabit masing-masing mempunyai 12 dan 19 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Ujian saringan air kencing kedua-duanya turut positif Methamphetamine dan kini mereka direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN










