Kenaikan diesel: Perkhidmatan feri ke Langkawi dikurangkan selepas Aidilfitri

Kenaikan diesel: Perkhidmatan feri ke Langkawi dikurangkan selepas Aidilfitri

PERKHIDMATAN feri penumpang ke Pulau Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta sebaliknya akan dikurangkan selepas Aidilfitri ekoran kenaikan mendadak harga diesel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta sebaliknya akan dikurangkan selepas Aidilfitri ekoran kenaikan mendadak harga diesel industri kepada RM7 seliter.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, jadual asal operasi feri sebanyak lima perjalanan sehari akan dikurangkan kepada tiga perjalanan sebagai langkah kawalan kos dan penyesuaian kepada permintaan semasa.

“Jadual perkhidmatan feri ke Langkawi akan disusun semula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri berikutan kenaikan harga diesel industri yang telah meningkat melebihi 100 peratus.

“Langkah penyusunan semula ini adalah perlu bagi mengurangkan risiko kerugian yang semakin membebankan pengusaha feri di Langkawi, selaras dengan peningkatan kos operasi yang tidak lagi mampan,” katanya di sini hari ini.

Baharin berkata, pengusaha feri di Langkawi ketika ini mengenakan kadar tambang sekitar 88 sen per batu nautika, iaitu jauh lebih rendah berbanding kadar yang dikenakan oleh pengusaha di pulau-pulau utama lain.

Katanya, kadar tambang ke pulau seperti Pulau Tioman di Pahang dan Pulau Pangkor, Perak mencecah RM2 per batu nautika.

Beliau berkata, perbincangan antara pengusaha dari semenanjung serta Sabah dan Sarawak bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) diadakan pada 17 Mac lalu bagi membincangkan cadangan pelaksanaan cas tambahan (surcaj) susulan kenaikan kos bahan api.

“Bagaimanapun, keputusan berhubung permohonan itu masih belum dimuktamadkan kerajaan. Pada masa sama, pengusaha feri Langkawi berpandangan inisiatif subsidi diesel sedia ada tidak memberikan kelegaan yang signifikan.

“Ini berikutan harga diesel industri di Langkawi adalah lebih tinggi berbanding harga diesel di pulau-pulau utama lain di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambah Baharin, pihaknya komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, namun pada masa sama kelangsungan operasi perlu diambil kira dalam keadaan kos yang semakin mencabar.

“Sehubungan itu, pengusaha berharap agar satu mekanisme penyelesaian yang lebih adil dan mampan dapat dipertimbang kerajaan bagi memastikan kelangsungan industri pengangkutan feri ke Langkawi serta tidak menjejaskan sektor pelancongan tempatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN