Polis bongkar sindiket edar dadah guna kurier bernilai RM2.1 juta

Polis bongkar sindiket edar dadah guna kurier bernilai RM2.1 juta

HAMZAH Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Taktik licik seorang penganggur yang menggunakan syarikat kurier untuk mengedar dadah jenis MDMA ke seluruh negara akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis dalam satu operasi di Butterworth, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan di kawasan parkir sebuah pangsapuri yang dipercayai digunakan sebagai lokasi simpanan dan memproses dadah.

“Siasatan juga mendapati, suspek aktif melakukan kegiatan tersebut iaitu sejak hujung tahun lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, susulan penahanan suspek, polis turut merampas pelbagai jenis dadah selain beberapa peralatan memproses bahan itu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.1 juta.

Katanya, antara yang dirampas termasuk satu kotak kertas mengandungi tiga bungkusan serbuk MDMA seberat 3.92 kilogram (kg) serta beberapa kotak kurier yang disembunyikan dengan rapi menggunakan bungkusan eksklusif seolah-olah barang bernilai.

“Selain itu, sebanyak 50 keping aluminium foil mengandungi pil Erimin 5, tiga peket pil ekstasi berwarna serta dadah ketamin seberat 384 gram juga berjaya dirampas dalam operasi yang sama.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membungkus dadah ke dalam kotak-kotak yang kelihatan seperti barangan bernilai sebelum dihantar menggunakan khidmat kurier ke seluruh negara,” katanya yang memberitahu, keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 400,000 orang penagih.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, suspek dikenal pasti bertindak sebagai pembekal utama dengan menjalankan kegiatan memproses dadah itu secara sendirian sebelum membungkus dan membuat penghantaran melalui kurier.

“Ketika ini, polis sedang giat menjejaki rakan-rakan sindiket suspek yang masih bebas bagi memastikan rangkaian ini ditumpaskan sepenuhnya,” katanya yang menjelaskan, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

Tambah Hamzah, ketika ini, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain merampas pelbagai jenis dadah, polis turut menyita beberapa aset milik suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM170,882,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN