PN perlu gabungan besar, libatkan parti politik kecil

PN perlu gabungan besar, libatkan parti politik kecil

Mohamad Shafiq Abdul Halim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu mempertimbangkan pelaksanaan strategi ‘Grand Coalition’  (gabungan besar) dengan menjemput  parti-parti politik kecil serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bernaung secara rasmi di bawah payung PN. 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, ia bagi memperkukuh jenama dan identiti PN sebagai satu entiti tunggal, berbanding mempromosikan parti-parti komponen secara berasingan.

Selain itu katanya, PN perlu beralih  kepada pendekatan politik inklusif dengan memberi tumpuan secara serius terhadap agenda dan isu berkepentingan nasional merangkumi keseluruhan lapisan masyarakat.

“Landskap politik masa kini  dipengaruhi media sosial sebagai medium utama pencarian maklumat kepada pengundi.

“Justeru itu, satu pelan komunikasi strategik yang menyeluruh perlu dirangka, bukan sahaja untuk kepimpinan dan jentera penerangan parti, tetapi juga merangkumi semua pemain media sosial yang aktif membawa naratif parti, agar mesej yang disampaikan kekal konsisten, selari dan senada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Mohamad Shafiq berkata, pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning memberikan isyarat yang jelas bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar persefahaman di peringkat kepimpinan tertinggi, malah telah diterima dengan baik oleh penyokong serta akar umbi kedua-dua parti.

“Ini satu cabaran besar kepada PN memandangkan BN masih mendapat sokongan dari kalangan masyarakat Melayu, manakala PH terus meraih dukungan daripada komuniti bukan Melayu.

“Justeru perubahan menyeluruh perlu dilaksanakan secara drastik bagi tujuan penjenamaan semula PN di semua peringkat sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang akan datang. Rakyat masa kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada ‘problem statement’, sebaliknya menilai pendekatan ‘problem-solving method’ yang diketengahkan oleh PN sebagai asas utama sokongan,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN