300 lori berkait projek ECRL rosakkan jalan

300 lori berkait projek ECRL rosakkan jalan

LALUAN utama Persiaran Saujana Utama Rawang yang rosak akibat aliran keluar masuk lebih tiga ratus lori muatan berat berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Gombak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Aliran keluar masuk lebih 300 lori kontrak bermuatan berat berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Gombak dikenal pasti sebagai punca utama laluan utama di Persiaran Saujana Utama Rawang rosak.

Pengerusi Persatuan Peniaga Jalan Batu Arang Sungai Bakau Datuk Seri A. N. Bala Krishnan berkata, masalah berlarutan itu telah menjejaskan keselamatan, kesihatan dan aktiviti harian hampir lima ribu penduduk Rawang.

Katanya, penduduk mendakwa punca utama adalah menerusi tindakan orang tidak bertanggungjawab telah membuka jalan haram di Persiaran Saujana Utama untuk kerja Projek ECRL sehingga merosakkan jalan utama di kawasan sekitar.

“Apabila jalan haram telah ditutup oleh penduduk, penduduk sekitar turut terjejas kerana akses utama ke kawasan perumahan dan industri mengakibatkan lori tersebut menggunakan laluan yang digunakan penduduk sehingga menimbulkan isu yang berlarutan sehingga hari ini.

“Kami menuntut tindakan segera pihak berkuasa agar masalah ini tidak lagi berpanjangan, kami tidak menolak pembangunan, tetapi hanya mahukan suara kami didengari serta berharap jalan asas dapat dibangunkan semula untuk kegiatan penduduk,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Persiaran Saujana Utama di sini, hari ini.

Kerosakan jalan itu menjejaskan hampir 5,000 penduduk sekitar Jalan Persiaran Saujana Utama, Taman Regensi, Taman Saujana dan Taman Aruna Rawang Selangor dan penduduk sekitar.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Komuniti Selayang Bersama, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, penduduk mahu campur tangan segera kerajaan negeri Selangor untuk menangani isu berpanjangan tersebut.

Menurutnya akibat kerosakan jalan tersebut, terdapat aduan mengenai kemalangan kecil yang melibatkan penunggang motosikal ketika menggunakan laluan tersebut.

“Lebih 300 lori muatan berat melalui kawasan itu hampir setiap hari, merosakkan tanah sementara ketiadaan sistem perparitan menyukarkan keadaan.

“Penduduk turut mengadu lampu jalan sudah tidak berfungsi, menjadikan kawasan gelap dan membimbangkan keselamatan awam, malah terdapat beberapa aduan bahawa rumah penduduk sekitar telah dipecah masuk.

“Saya mohon Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang; Chua Wei Kiat, Ahli Parlimen Selayang; William Leong Jee Keen dan Exco Infrastruktur Selangor untuk mengambil tindakan segera atasi masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.

Selain itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Regensi Rawang, S. Chandra Kumar berkata, aduan terhadap wakil rakyat telah dikemukakan berulang kali namun tiada jawapan rasmi diterima penduduk setempat.

Katanya, pada awal pembangunan, tiada sebarang masalah, namun sejak tiga tahun lalu keadaan semakin buruk apabila hampir setiap hari lori bermuatan berat merosakkan laluan utama penduduk.

“Laluan ini menjadi nadi kehidupan penduduk Kampung Kelubi Orang Asli dan penduduk lain, digunakan untuk bekerja, berniaga dan menghantar anak ke sekolah, namun kini kawasan sekitar dicemari habuk tebal yang dibawa lori-lori tersebut, menjejaskan kesihatan dan keselesaan hidup mereka,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×