PKB catat 100 peratus penebusan baucar buku

PKB catat 100 peratus penebusan baucar buku

SEKUMPULAN pelajar sekolah memilih komik yang dijual di salah sebuah reruai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemberian baucar buku bernilai RM50 kepada murid sekolah rendah dan RM100 untuk pelajar sekolah menengah serta institusi pendidikan tinggi (IPT) oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) telah mencapai kadar penebusan 100 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar berkata, program yang bermula sejak 31 Disember tahun lalu, membuktikan kejayaan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

“Program ini tidak hanya memperluas akses kepada bahan bacaan malah turut menyemai minat membaca serta melahirkan generasi pembaca baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Pembentangan Dapatan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku 2024 terhadap Pembangunan Ekonomi MADANI dan Pembangunan Masyarakat MADANI Yang Berilmu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) hari ini. 

Menurut beliau, program baucar buku itu turut memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya melalui bahan bacaan braille untuk membuktikan bahawa tiada siapa yang dipinggirkan dalam usaha merakyatkan ilmu.

Katanya,  program yang menggunakan kaedah penebusan secara dalam talian sepenuhnya itu turut mencatatkan tahap kepuasan yang tinggi dengan 72.1 peratus responden berpuas hati proses penebusan secara dalam talian yang lebih mudah berbanding pemberian baucar buku fizikal.

“Penebusan melalui platform bookcapital.my pula menawarkan lebih 800,000 judul melibatkan 1,000 penjual tempatan telah berjaya memacu pertumbuhan industri buku nasional melalui penggunaan teknologi dan analitik data raya,” katanya. 

Jelasnya, PKB turut diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana utama bagi menyelaras keseluruhan operasi penebaran baucar, pemilihan penerbit dan pengedar serta penghantaran buku kepada lebih 3.5 juta penerima di seluruh negara.

“Melalui platform e-dagang dan kerjasama dengan syarikat kurier, PKB berjaya memastikan akses kepada buku berkualiti dapat diperluas kepada pelajar di kawasan bandar dan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN