Pilih wakil rakyat yang menyatukan, bukan memecahkan - PM

Pilih wakil rakyat yang menyatukan, bukan memecahkan – PM

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada majlis penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat perlu membuat pilihan yang tepat dalam memilih wakil yang akan menyuarakan hak dan masalah dihadapi supaya objektif tersebut dapat dicapai sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan peruntukan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan merupakan perkara biasa yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, kata beliau, perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu dilakukan secara baik serta harmoni.

“Ini perkara biasa, tetapi bukan melalui permusuhan atau kecaman. Kita berunding dan cari jalan penyelesaian yang baik, pilih wakil rakyat yang boleh menyuarakan kepentingan kita, bukan yang memecah-belahkan kita.

“Inilah mesej saya: jika kita cintakan negara dan negeri kita, kita mesti kukuhkan perpaduan. Kita juga perlu bersyukur kepada Allah, bersyukur kerana kita hidup dalam keadaan aman, tanpa perang atau konflik politik,” katanya katanya ketika merasmikan majlis penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, Sabah.

Tambah Anwar, Sabah mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negeri maju melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.

Sejajar dengan itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan aspirasi tersebut dan seterusnya menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur pemimpin-pemimpin yang pernah memegang jawatan tinggi termasuk di Parlimen tetapi tetapi sering bercakap mengenai pembangunan Sabah melalui konfrontasi dengan Semenanjung atau kerajaan Persekutuan.

“Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah tidak akan maju jika kita tidak bersatu dan bekerjasama untuk mengangkat martabat negara ini. Kita mesti benar-benar faham perkara ini.

Lihat negara lain, setiap hari ada berita mengenai perpecahan antara kaum, antara wilayah, antara agama. Kenapa? Kerana pemimpin yang menghasut perpecahan, dan apabila mereka berkuasa, mereka tidak memikirkan tentang rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin tersebut gagal apabila diberi kuasa dan tanggungjawab oleh rakyat untuk mentadbir negara serta melakukan apa yang perlu.

Jelasnya, kumpulan itu cuba memecah-belahkan rakyat apabila sudah kehilangan kuasa mereka.

Oleh itu, tegasnya, semua pemimpin sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri mesti berusaha sedaya upaya untuk menjaga kebajikan rakyat serta menyelesaikan masalah, bukan mengikut jejak pemimpin yang hanya tahu mengecam selepas kehilangan kuasa.

“Bila hilang kuasa, mereka timbulkan isu seperti pertahankan Melayu, Islam diancam, negeri dianaktirikan. Tapi dulu kamu ada kuasa – buatlah masa masih ada. Saya cabar semua rakan-rakan saya yang kini berkuasa, buat yang terbaik untuk rakyat selagi ada mandat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN