SHAH ALAM: Serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap premis-premis di Pusat Komersial Dataran Otomobil, Seksyen 15, di sini semalam membawa kepada penahanan seramai 242 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Operasi dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan kawasan berkenaan disyaki dibanjiri oleh warga asing sehingga terdapat antara mereka membuka perniagaan di sana dengan menyalahgunakan lesen perniagaan bukan milik sendiri.
Penahanan yang dilakukan itu melibatkan 216 lelaki serta 26 wanita yang 88 daripadanya merupakan warga Bangladesh, diikuti Myanmar (51), India (35), Indonesia (30), Pakistan (22) dan Nepal (16).
Timbalan Pengarah (Kawalan) JIM Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, serbuan dilakukan pihaknya melibatkan kawasan di Jalan J dan H susulan maklumat diterima daripada risikan di sana.
“Serbuan dilakukan hasil risikan terhadap aktiviti perniagaan haram yang dijalankan oleh warga asing di kawasan berkenaan. Pemeriksaan dan tangkapan PATI di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Jelasnya, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 15(1)(c) tinggal lebih masa selain Peraturan 39b Peraturan Imigresen iaitu melanggar syarat pas,” ujarnya. – UTUSAN










