KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis pokok seludup termasuk kenderaan bernilai RM1.77 juta dalam tiga serbuan sekitar Rantau Panjang dan Tanah Merah di sini kelmarin.
Dalam Op Intra itu, seramai empat lelaki yang dipercayai bertindak sebagai pengantar barang tersebut masing-masing berusia 24 hingga 44 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan penugasan di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah anggota bertugas telah menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai 600 pokok bunga kertas di dalam lori berkenaan dan kedua-dua lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen berkaitan dengan barangan dibawa.
“Kita tidak menolak kemungkinan pokok yang diseludup dari negara Thailand itu mempunyai serangga perosak.
“Kedua-dua lelaki itu kita tahan untuk membantu siasatan dan barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktika (Komtak) Taman Bakti Rantau Panjang.
“Rampasan kedua pula dilakukan pada pukul 7.30 malam di sekat pintas Serongga selepas menahan sebuah lori dipandu lelaki berusia 34 tahun dalam keadaan mencurigakan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. – UTUSAN











