PETALING JAYA: Sebuah pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam insiden kemalangan semasa melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah, petang tadi.
TUDM menerusi kenyataan berkata, perkara itu telah disahkan dan insiden berlaku kira-kira jam 5 petang apabila pesawat tersebut mengalami masalah pada bahagian ‘nose landing gear’ ketika mendarat.
Pesawat berkenaan difahamkan sedang menjalani latihan ‘Opening Gambit’, iaitu sesi persiapan untuk acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).
Bagaimanapun, juruterbang pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan lebih terperinci,” katanya.
Setakat ini, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan pihak TUDM memberi jaminan bahawa aspek keselamatan operasi sentiasa menjadi keutamaan.
Sementara itu, Malaysia Airports menerusi kenyataan memaklumkan, landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim terpaksa ditutup sementara berikutan insiden membabitkan pesawat milik TUDM.
Katanya, penutupan landasan itu bagi membolehkan kerja mengalihkan pesawat serta pembersihan landasan dilakukan demi keselamatan semua operasi penerbangan.-UTUSAN