Shuib didenda RM10,000 promosi produk vape - Utusan Malaysia

Shuib didenda RM10,000 promosi produk vape

SHUIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelawak dan usahawan, Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mempromosikan produk merokok melalui platform media sosial, dua tahun lalu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mengikut pertuduhan, Shuib didakwa telah mempromosikan produk merokok melalui satu pautan video platform YouTube yang disiarkan kepada orang awam pada pukul 4.26 petang, 22 Oktober 2024.

Perbuatan itu didakwa melanggar Seksyen 9 (1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Shuib didakwa di bawah Seksyen 9 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan denda sebanyak RM10,000 dan penjara selama setahun jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Kua Ah Kiong manakala Shuib diwakili peguam Sa’eed Khaliq dan Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN