SEREMBAN: Penyokong-penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dipercayai tidak akan bertindak terburu-buru termasuk keluar parti susulan kekalahan Menteri Ekonomi itu dalam pemilihan parti berkenaan Jumaat lalu.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mereka hanya memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum bangkit semula bersama keluarga besar PKR meneruskan perjuangan parti.
Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan percaya kekecewaan itu tidak akan berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan parti dan situasi dalam PKR akan kembali pulih.
“Mereka tidak akan keluar parti tetapi melihat strategi yang boleh dimainkan di peringkat ranting dan cabang sebagai langkah ke hadapan.
“Saya sendiri yang merupakan orang kuat Datuk Seri Rafizi yakin mereka (para penyokong Rafizi) akan mengambil masa sedikit untuk pulih daripada kekecewaan sebelum kembali memberi sokongan kepada PKR,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2025 di Nilai dekat sini malam tadi.
Pemilihan PKR peringkat pusat Jumaat lalu menyaksikan Rafizi gagal mempertahankan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar.
Pemilihan itu juga menyaksikan Aminuddin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden PKR daripada 12 calon yang bertanding jawatan tersebut.
Susulan pemilihan itu, Aminuddin berharap PKR akan mengambil tindakan menangani perdebatan yang hangat berkaitan pemilihan berkenaan terutamanya di media sosial.
“Walaupun pemilihan itu telah selesai dua hari lalu tetapi ia masih hangat diperkatakan dan keadaan ini tidak boleh diambil mudah oleh PKR.
“Kita harap pimpinan secara keseluruhannya mampu mengatasi apa juga komen-komen dengan memberi penerangan yang baik dan bekerja lebih kuat daripada yang ada pada hari ini,” ujarnya.
Mengenai kemenangannya dalam pemilihan tersebut, Aminuddin berterima kasih kepada semua ahli PKR dan bersyukur dapat mempertahankan jawatan yang dimenanginya pada pemilihan 2022.
“Saya lihat keterbukaan dan saya akan menjalankan amanah yang lebih besar kerana kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum,” katanya. – UTUSAN