BUKIT MERTAJAM : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan bertemu wakil syarikat teknologi terkemuka, Meta Platforms Inc (Meta) pada 22 September ini untuk berbincang mengenai beberapa isu berkaitan terutamanya membabitkan perjudian dalam talian yang kini berleluasa di Facebook.
Fahmi berkata, usaha itu penting bagi membantu rakyat memanfaatkan penggunaan aplikasi sosial itu terutamanya dalam menjana ekonomi dan sosial selain membantu menangani jenayah siber.
“Majoriti kandungan di Facebook yang telah kita turunkan adalah bersifat judi dalam talian termasuk iklan judi. Dalam hal ini, Facebook sepatutnya tahu bahawa judi ‘online’ (dalam talian) tidak dibenarkan di Malaysia.
“Jadi, kita minta mereka sekat akaun kad kredit yang digunakan untuk membeli iklan judi. Tetapi, Facebook enggan berbuat demikian. Itu antara beberapa perkara yang kita akan bincang nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di sini.
Ketika ini, terdapat 39 buah NADI baharu yang dibangunkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Pulau Pinang yang menjadikan keseluruhannya 42 buah NADI di seluruh negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membantu siasatan polis dari aspek teknikal berhubung dakwaan ugutan video lucah membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Siasatan kes ini diketuai PDRM manakala MCMC pula akan membantu dari segi teknikal. Buat masa ini, saya tidak ada maklumat tambahan (berhubung isu berkenaan),” ujar beliau.
Terdahulu, media melaporkan, Rafizi mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya dan seorang lelaki yang dikirim melalui satu e-mel tidak dikenali kelmarin.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pengirim terbabit turut memeras ugut wang AS$100,000 (kira-kira RM420,000) sekiranya tidak mahu video berkenaan disebarkan.-UTUSAN










